Sep 14, 2010

Contoh Jawapan Karangan UPSR (1)

SILA RIWAYATKAN KISAH ANDA SEBAGAI SEBIJI PIL FENG TAU (ECSTACY) DALAM KARANGAN TIDAK KURANG DARIPADA LAPAN PERKATAAN. MASA: 1 JAM

____________________________________________________

Ini adalah riwayat hidup saya yang penuh dugaan lagi menyayat hati (tisu tidak disediakan. sekiranya ada yang menangis, sila bawa bertenang).

Nama saya Feng (bukan nama sebenar). Dan saya berasal daripada sebuah kilang perubatan haram juga tidak bertauliah di pekan Batang Kali, Selangor. Jika dirujuk salasilah keturunan keluarga saya, saya sebenarnya berdarahkan kerabat diraja Methylenedioxymethamphetamine ataupun dalam singkatannya dikenali sebagai MDMA.

Malangya, Jabatan Pendaftaran Negara (pihak yang mengendalikan urusan pendaftaran surat beranak dan kad pengenalan Malaysia) enggan memperakui status kerabat saya itu. Mengikut hujah mereka, seseorang akan diperakui sebagai MDMA sejati apabila seseorang itu hanya mengandungi bahan Methylenedioxymethamphetamine dalam dirinya. Tetapi daripada analisa makmal bertaraf CSI, mereka mendapati bahawa saya merupakan kacukan Methylenedioxymethamphetamine bersama racun tikus dan kaca pendaflour.

Penemuan ini telah menjadi titik hitam dalam sejarah hidup saya. Dan seterusnya jolokan ‘pil haram’ mula melekat pada saya. Saya dipandang hina dan serong kerana saya umpama anak haram. Tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa pun. Kerana semua ini suratan takdir. Walaupun ada ketikanya saya mengenangkan saudara-saudara saya yang hidup mewah di Australia dan Eropah kerana mereka berketurunan MDMA sejati.

Nak dipendekkan cerita yang panjangnya sehingga ke Namibia, entah bagaimana saya diberi kepada seorang tokan Cina. Tetapi tempoh dibawah jagaannya itu cuma selama seminggu sahaja, sebelum saya berpindah milik sekali lagi.

Saya masih ingat malam dimana pemilik baru saya membawa saya keluar buat pertama kalinya. Ketika itu saya masih tidur lagi. Tengah membabi dengan lenanya. Kerana waktu itu sudah sekitar 3 pagi. Tetapi saya tersentak daripada tidur saya kerana dikejutkan oleh bunyi musik yang kuat. Muzik ini cukup pelik. Ia tidak bermelodi, dan detuman bassnya pula tidak henti-henti. Bisingnya lebih kurang seperti di tapak pembinaan ataupun di persidangan MIC yang huru-hara.

Tidak lebih daripada 5 minit saya berada di tempat itu, pemilik saya menghulurkan saya kepada seorang yang tidak dikenali, sambil menerima 30ringgit daripadanya. Detik itu baru saya sedar bahawa sekali lagi saya berpindah milik. Tetapi yang menyedihkan ialah, dahlah saya tidak diperakui sebagai MDMA, malahan diri saya cuma berharga 30ringgit. Se-jag beer pun lebih mahal daripada saya. Sedih … sedih …

Sejurus selepas itu, pemilik baru saya menelan saya ke dalam perutnya tanpa sebarang notis terdahulu. Ini memang satu tindakan yang tidak berperikebinatangan atau beretika langsung. Sebenarnya saya bukan melarang dia telan saya, tapi sekurang-kurangnya tengoklah dulu muka saya dan cap pada badan saya. Ini tak, main telan saja. Karang apa-apa jadi, siapa yang susah? Mak bapa juga yang susah.

Dengan mendukung perasaan sedih yang melampaui batas kesedihan keluarga Altantuya Shariibu (yang mati dibom di Malaysia), saya selamat mendarat di dasar perut pemilik baru saya.Nak dijadikan cerita, api kemarahan tiba-tiba membakar jiwa saya. Saya sedar bahawa ianya tidak akan berkesudahan langsung jikalau saya mensia-siakan saki-baki hidup menanti diri saya mencair di sini (kalau dikira balik, hidup saya cuma tinggal 4 jam saja lagi masa itu). Saya rasa saya perlu membuat sesuatu, sekurang-kurangnya untuk membalas dendam; melawan suratan takdir saya yang sememangnya tidak adil.

Maka dengan bersenjatakan kaca pendaflour, saya mula menoreh usus-usus dan perut si penelan saya itu. Tempat yang ditoreh itu diisikan dengan kombinasi racun tikus dan methylenedioxymethamphetamine yang ada pada diri saya. Objektif saya pada masa itu cuma satu saja; “Nak mati, biar mati bersama!”

Puas saya melakukan segala aksi yang dikatakan diatas sehinggalah kedengaran suara hati penelan saya itu menjerit, “Hou lan bei arr, hou lan bei arr!” (yang setelah dialih suara bermaksud "stim giler stim giler"). Terus terang dan dengan tak malunya saya beritahu wahai pembaca semua. Saya sebenarnya tidak faham apa yang dia katakan itu. Maklumlah, sejak lahir hingga sekarang, saya tidak berpeluang menuntut ilmu di sekolah langsung.

Pergelutan diri saya dan usus-usus perut penelan saya berterusan selama 3 jam. Ia juga menyebabkan kaca pendaflour saya tumpul belaka, dan stok methylenedioxymethamphetamine dan racun tikus habis. Saya mula rasa letih. Saya juga rasa mengantuk. Dan tanpa sebarang pelawaan langsung, saya pitam dengan tiba-tiba. Saya pun tidak sedar berapa lama saya dalam keadaaan pitam. Seingat saya, penglihatan saya samar saja ketika saya membuka mata buat pertama kalinya sejak pitam. Saya ternampak suatu cahaya yang terang di depan saya. Cahaya itu makin lama makin terang dan meluas. Ia semakin terang ... semakin terang-terang … semakin semakin semakin terang …. “PLOOOP!”

Arrrghhhhh!!!!!!!!!!! Sudah jatuh ditimpa tangga pula. Apalah nasib saya ini. Daripada hidup yang bermula di sebuah makmal haram, hinggalah ia ditamatkan di tempat yang haram juga … iaitu dasar mangkuk tandas. Ketika itu diri saya sudah sebati dengan segala makanan si penelan saya … dan saya sudah bertukar menjadi sebahagian daripada tahi yang hina.

Begitulah adanya.

No comments: